Thursday, October 4, 2012

Hanya Hajinya sahaja yang diterima...

Bismillah. Pagi Isnin lalu sewaktu memandu ke Putrajaya International Convention Centre saya sempat mendengar tazkhirah dari radio SALAMfm 91.1. 

Seorang ustaz bercerita berkenaan seorang ulama besar iaitu yang bernama Abdullah...(saya lupa nama penuh beliau) pernah tertidur di Masjidil Haram dan bermimpi bertemu dengan dua Malaikat yang sedang berbicara. Malaikat itu sedang membicarakan berkenaan dengan orang yang datang ke Mekah menunaikan haji.

"Tahun ini, 600,000 orang datang menunaikan haji, tetapi tiada seorangpun yang Allah terima amalan hajinya" Kata seorang Malaikat.

"Hanya kerana amalan haji Sipolan bin sipolan diterima oleh Allah untuk haji tahun itu, maka semua 600,000 muslim yang datang mengerjakan haji itu diterima amalan hajinya.

Ulama ini terkejut dan terus bangun dari tidurnya dan mencari individu yang bernama Sipolan bin sipolan itu .

Apabila bertemu dengan Sipolan, ulama itu terus menanyakan berkenaan amalan yang telah Sipolan itu lakukan, sewaktu musim haji itu. Beliau berkata beliau membatalkan hasrat dirinya dan isterinya untuk menunaikan haji tahun itu.

Ulama itu bertambah hairan. Sipolah membertitahu ulama itu , bebarapa hari sebelum beliau dan isterinya bertolak ke Mekah, beliau ke pasar, dalam perjalanan ke pasar, beliau melihat sebuah rumah yang keluar asap darinya.

Semakin beliau menghampiri rumah itu, beliau tercium bau yang sangat harum, bau dari masakan. Ketika beliau benar-benar hampir dengan rumah itu, tuan rumah itu ketika itu keluar dari rumah. Sipolan ini bertanya kepada tuan rumah itu apa yang kamu masak itu, kerana baunya sangat menyelerakan?

Tuan rumah berkata “Kami sedang memasak makanan yang halal untuk kami makan, tetapi haram untuk kamu makan”. Sipolan itu ini terkejut dan bertanya lagi “Maksud kamu?”

“Kami sedang memasak bangkai daging keldai yang kami jumpa di luar sana, ini kerana sudah 3 hari kami tidak makan.”

Sipolan membuat keputusan untuk tidak meneruskan niatnya untuk ke pasar, beliau berpatah balik dan berbincang dengan isterinya.

Akhirnya Sipolan dan isterinya menyerahkan semua duit yang disimpan selama ini bagi tujuan menunaikan haji kepada keluarga yang sudah tiga hari tidak makan itu.

Sipolan itu memberitahu kepada ulama, “Itu yang menyebabkan saya tidak dapat menunaikan fardhu haji, kerana saya sudah tidak mampu ketika ini”.

No comments:

Post a Comment