Thursday, July 28, 2011

Kelebihan Solat Tarawih
1. Kelebihan Solat Tarawih Malam Pertama
Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.

2. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kedua
Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.

3. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketiga
Para malaikat di bawah 'Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.

4. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempat
Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

5. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelima
Allah SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjidil Madinah dan Masjidil Aqsa.

6. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenam
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.

7. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuh
Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir’aun dan Hamman.

8. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapan
Allah S.W.T mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.

9. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilan
Allah S.W.T akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad s.a.w.

10. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesepuluh
Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.

11. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesebelas
Ia meninggal dunia di dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.

12. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduabelas
Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.

13. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigabelas
Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.

14. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempatbelas
Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih serta Allah S.W.T. tidak akan menyesatkan mereka.

15. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelimabelas
Semua malaikat yang memikul ‘Arasy dan Kursi akan berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

16. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenambelas
Allah S.W.T. menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

17. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuhbelas
Allah S.W.T menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

18. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapanbelas
Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).

19. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilanbelas
Allah S.W.T akan meninggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.

20. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh
Allah S.W.T mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.

21. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh satu
Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.

22. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh dua
Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut.

23. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tiga
Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.

24. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh empat
Allah S.W.T akan membuka peluang untuk dua puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

25. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lima
Allah S.W.T akan mengangkat seksa kubur darinya.

26. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh enam
Allah S.W.T akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

27. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tujuh
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.

28. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lapan
Allah S.W.T akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat.

29. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh sembilan
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.

30. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigapuluh
Allah S.W.T akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kautsar.

Sunday, July 17, 2011

Kematian yang mulia

MEMANG amat tersentuh dan mengalir air mata ketika melihat jenazah adik-adik kecil yang dipanggil Pemiliknya. Mereka dikebumikan serentak dalam satu lahad.

Takziah kepada keluarga mangsa semoga tabah menghadapi ujian kehilangan yang tersayang. Al-Imam Qurtubi pernah merakamkan hadis nabi yang bermaksud, mati mengejut bagi orang yang baik adalah nikmat manakala mati mengejut bagi yang zalim dan jahat adalah azab.

Memang sedih apabila dengar berita kematian, tapi bagi yang tahu kategori kematian, ada anugerah di sebalik itu iaitu mati syahid.

Bagi keluarga yang sedang bersedih dengan tragedi terbabit, sedikit hiburan dari tulisan kali ini.


Ini kerana di sana ada satu senarai pakej kematian yang sangat mulia iaitu husnul khatimah atau mati syahid terutama di senarai yang ke lapan dan kesembilan dalam tulisan ini.

Pertama: Mereka yang dapat mengucapkan syahadah menjelang kematian sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis sahih,

antaranya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“(Barang siapa yang ucapan terakhirnya Laa ilaaha illallah maka dia masuk syurga).” (Hadis Hasan)

Kedua: Kematian yang disertai dengan basahnya kening dengan keringat atau peluh berdasarkan hadis Buraidah bin Hushaib r.a:

Dari Buraidah bin Khusaib r.a (bahawa ketika dia berada di Khurasan sedang membesuk seorang sahabatnya yang sakit dia mendapatinya sudah meninggal tiba-tiba keningnya berkeringat maka dia berkata: Allahu Akbar, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

(Kematian seorang mukmin disertai keringat di keningnya). (Hadis Sahih)

Ketiga: Mereka yang (baik-baik dan soleh) meninggal dunia pada malam Jumaat atau siangnya berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w

(tidaklah seorang Muslim yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan Allah melindunginya daripada seksa kubur).

Keempat: Meninggal dalam keadaan syahid di medan perang sebagaimana ertinya:

(Dan janganlah sekali-kali kamu mengira bahawa orang-orang yang terbunuh di jalan Allah mati, tetapi mereka hidup diberi rezeki di sisi Tuhan mereka. Mereka bergembira dengan kurnia yang diberikan Allah kepada mereka dan memberi khabar gembira kepada orang yang belum mengikuti mereka di belakang janganlah mereka takut dan sedih. Mereka memberi khabar gembira dengan kenikmatan dari Allah dan kurnia-Nya dan bahawa Allah tidak mensia-siakan balasan bagi orang-orang beriman). (Surah Ali Imran ayat 169-171)

Rasulullah s.a.w bersabda:

“(Orang yang syahid mendapatkan enam perkara: Diampuni dosanya sejak titisan darahnya yang pertama, diperlihatkan tempatnya dalam syurga, ijauhkan dari seksa kubur,

diberi keamanan dari goncangan yang dahsyat di hari kiamat, dipakaikan mahkota keimanan, dinikahkan dengan bidadari syurga, diizinkan memberi syafaat bagi tujuh puluh anggota keluarganya.”

Kelima: Mereka yang meninggal ketika berjuang di jalan Allah (bukan terbunuh) berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w:

“(Apa yang kalian nilai sebagai syahid antara kalian?

Mereka berkata: Ya Rasulullah siapa yang terbunuh di jalan Allah maka dia syahid.

Beliau berkata: (Jadi sesungguhnya syuhada’ umatku sedikit ).

Mereka berkata: Lalu siapa mereka Ya Rasulullah?
Baginda berkata: (Barang siapa yang terbunuh di jalan Allah syahid, barang siapa yang mati di jalan Allah syahid, barang siapa yang mati kerana wabak taun syahid, barang siapa yang mati kerana penyakit perut syahid dan orang yang tenggelam syahid).”

Keenam: Mati kerana satu wabak penyakit taun berdasarkan beberapa hadis antaranya: Rasulullah s.a.w bersabda:

(Wabak taun adalah kesyahidan bagi setiap Muslim).

Ketujuh: Mereka yang mati kerana penyakit dalam perut berdasarkan hadis di atas.

Kelapan dan kesembilan: Mereka yang mati kerana tenggelam dan terkena runtuhan berdasarkan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

(Syuhada ada lima: yang mati kerana wabak taun, kerana penyakit perut, yang tenggelam, yang terkena runtuhan dan yang syahid di jalan Allah).

Kesepuluh: Mereka yang matinya seorang wanita dalam nifasnya disebabkan melahirkan anaknya:



Dari Ubadah bin Shamit r. a bahawa Rasulullah s.a.w menjenguk Abdullah bin Rawahah dan berkata:

Beliau tidak berpindah dari tempat tidurnya lalu berkata: Tahukah kamu siapa syuhada’ dari umatku?

Mereka berkata: Terbunuhnya seorang Muslim adalah syahid.

Beliau berkata: (Jadi sesungguhnya para syuhada’ umatku, terbunuhnya seorang Muslim syahid, mati kerana wabak taun syahid, wanita yang mati kerana janinnya syahid (ditarik oleh anaknya dengan tali arinya ke syurga).

Kesebelas dan kedua belas: Mereka yang mati kerana terbakar dan sakit bengkak panas yang menimpa selaput dada di tulang rusuk, ada beberapa hadis yang terkait yang paling masyhur:



Dari Jabir bin ‘Atik dengan sanad marfu’: (Syuhada’ ada tujuh selain terbunuh di jalan Allah: yang mati kerana wabak tha’un syahid, yang tenggelam syahid, yang mati kerana sakit bengkak yang panas pada selaput dada syahid, yang sakit perut syahid, yang mati terbakar syahid, yang mati terkena runtuhan syahid, dan wanita yang mati setelah melahirkan syahid).

Ketiga belas: Mereka yang mati kerana sakit TB berdasarkan hadis:

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

(Terbunuh di jalan Allah syahid, wanita yang mati kerana melahirkan syahid, orang yang terbakar syahid, orang yang tenggelam syahid, dan yang mati kerana sakit TB syahid, yang mati kerana sakit perut syahid). (Hadis Hasan)

Keempat belas: Mereka yang mati kerana mempertahankan hartanya yang hendak dirampas.



Dalam hal itu ada beberapa hadis di antaranya:

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

(Barang siapa yang terbunuh kerana hartanya (dalam riwayat: barang siapa yang hartanya diambil tidak dengan alasan yang benar lalu dia mempertahankannya dan terbunuh) maka dia syahid).

Kelima belas dan keenam belas: Mereka yang mati kerana mempertahankan agama dan dirinya:



Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

(Barang siapa yang terbunuh kerana hartanya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana keluarganya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana agamanya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana darahnya syahid).

Ketujuh belas: Mereka yang mati dalam keadaan ribath (berjaga di perbatasan)
di jalan Allah.



Ada dua hadis dalam hal itu salah satunya: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Ribath sehari semalam lebih baik dari berpuasa dan qiyamul lail selama sebulan, dan jika mati maka akan dijalankan untuknya amalan yang biasa dikerjakannya, akan dijalankan rezekinya dan di amankan dari fitnah).

Kelapan belas: Mati ketika melakukan amal soleh berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:



(Barang siapa yang mengucapkan: Laa ilaaha illallah mengharapkan wajah Allah lalu wafat setelah mengucapkannya maka dia masuk syurga, barang siapa berpuasa satu hari mengharapkan wajah Allah lalu wafat ketika mengerjakannya maka dia masuk syurga, barang siapa yang bersedekah dengan satu sedekah mengharapkan wajah Allah lalu wafat ketika mengerjakannya maka dia masuk syurga).

Kesembilan belas: Mereka yang dibunuh oleh penguasa yang zalim kerana memberi nasihat kepadanya:



Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

(Penghulu para Syuhada’ adalah Hamzah bin Abdul Mutalib dan seseorang yang mendatangi penguasa yang zalim lalu dia memerintahkan yang baik dan melarang dari yang mungkar lalu dia dibunuhnya) Hadis dikeluarkan oleh Al-Hakim dan disahihkannya dan Al Khatib.

Sama-samalah kita berdoa agar kita sama termasuk dalam senarai di atas. Amin Ya Rabbal ‘aalamin.

Ustaz Mohd.Zawawi Yusoh

Friday, April 1, 2011

MEMBAZIR:SIFAT KEJI YANG WAJIB DIHINDARI

Ibnu Al-Qayyim Al-Jauzi mengatakan, terdapat sembilan bentuk pembaziran yang sering dilakukan oleh manusia antaranya;

Pertama : Pembaziran ilmu pengetahuan iaitu membazir jika tidak diamalkan pada jalan kebaikan.
Kedua : Pembaziran amalan iaitu membazir jika melakukannya dengan hati yang tidak ikhlas.
Ketiga : Pembaziran kekayaan iaitu membazir jika dibelanjakan pada perkara yang tidak bermanfaat dan tidak diredhai Allah S.W.T.
Keempat : Pembaziran hati iatu membazir jika hati yang kosong kerana tidak mengasihi Allah S.W.T.
Kelima : Pembaziran tubuh badan iaitu membazir jika tidak digunakan untuk beribadah kepada Allah S.W.T.
Keenam : Pembaziran cinta iaitu membazir jika kita mencintai orang atau perkara lain melebihi cinta kepada Allah S.W.T.
Ketujuh : Pembaziran masa iaitu membazir jika tidak digunakan dan diurus dengan sebaiknya.
Kelapan : Pembaziran akal iaitu membazir jika memikirkan sesuatu yang hanya untuk dunia semata-mata tanpa bermanfaat kepada agama.
Kesembilan : Pembaziran zikir iaitu membazir jika tidak menyebutnya dengan betul, hilang tumpuan, bermain-main atau sambil lewa sahaja dan sebagainya.

Tuesday, January 4, 2011

ICT di Malaysia

MSC di Cyberjaya, Pengeluar notebook, hard disk dan komponen IT di Pulau Pinang, Taman Teknologi di Bukit Jalil, netbook sekolah di Terengganu, UniFi, P1, iPhone, BlackBerry, 3G dan macam-macam lagi. Itu semua ada di sini, Malaysia yang kita semua cintai.

Pernah seorang individu bertanya kepada saya, apa yang rakyat dapat dari MSC dan ICT - itu kira-kira 3 tahun lalu semasa saya menjelajah semenanjung. Saya tidak tahu apa nak cakap. Saya juga tidak pasti kenapa ditanya begitu? Tetapi saya tanya kembali apa yang pakcik rasa pakcik dapat? Dia kata tidak ada apa-apa? Saya tanya kembali, kenapa tidak ada apa-apa? Dia terdiam dan saya pun sama.

Saya faham maksud pakcik itu. Sebab dia tidak nampak dan rasa apa yang dihasilkan oleh MSC atau projek-projek ICT tempatan. Saya juga tidak salahnya beliau jika tidak tahu dan faham. Tetapi itulah hakikatnya, ramai yang tidak tahu dan tidak faham. Tetapi selepas itu saya berbual dengan pakcik itu dan saya bertanya macam-macam mengenai dirinya dan akhirnya saya katakan padanya, telefon yang pakcik pakai, TV satelit yang pakcik guna, internet yang pakcik layari, perbankan internet yang pakcik lakukan dan pelbagai lagi itulah hasil dari MSC. MSC membawa teknologi ke sini. Kadang-kadang memang kita rasa agak perlahan tetapi kita bernasib baik sebab Dr. M mencetuskan idea itu awal-awal lagi jika tidak pasti kita akan ketinggalan jauh.

Namun tidak guna kemajuan yang ada jika masih ada rakyat yang susah. Saya tertarik dengan semangat yang ditunjukkan oleh ramai orang untuk berkebajikan sehingga ke luar negara. Tetapi lakukan dahulu di sini kerana ramai yang masih susah dan miskin. Jika zakat dan sedekah itu dibahagikan dengan betul saya pasti tiada lagi masalah kemiskinan dan kesusahan. Tiada juga rancangan-rancangan TV yang menayangkan kemiskinan dan kesusahan. Tetapi hanya Allah sahaja yang tahu apa yang berlaku!

Berlaku jujur, bertanggungjawab, membina wawasan, disiplin diri dan hati, bekerjasama dengan semua, berlaku adil dan prihatin dengan sesiapa sahaja. Moga kita hidup bahagia dunia & akhirat. AMIN!

Wassalam

Jenayah Siber

Menurut CyberSecurity kes jenayah siber pada 6 bulan pertama 2010 meningkat 88.7% berbanding tahun lalu. Banyak tu! Kenapa ia meningkat? Saya sendiri tidak pasti apa puncanya tetapi penjenayah akan wujud dalam keadaan apa pun tidak kira berada di alam nyata atau maya. Jika niatnya untuk menjadi jahat ia pasti akan belajar supaya niatnya itu terlaksana. COntohnya jika ingin menjadi hacker maka individu itu pasti akan cuba belajar dengan bersungguh-sungguh.

Saya mula berjinak dengan Internet sejak awal tahun 1990an. Ketika itu cuba belajar banyak benda yang berkaitan dengan Internet dan seumpamanya. Kemudian pada akhir 1990an ramai yang menjadi pelajar kononnya untuk berbuat baik di dalam Internet. Tetapi ramai di antara mereka yang menyalahgunakan ilmu yang saya turunkan untuk merosakkan laman web orang lain, merosakkan PC orang lain dan pelbagai lagi.

Bak kata orang tua saya, pisau jika digunakan di dapur ia membawa kebaikan, pisau jika digunakan untuk menikam orang ia membawa keburukan. Ilmu janganlah disalah guna atau untuk menyombong. Ada yang belajar ilmu mula-mula kata untuk kebaikan tapi lepas dapat lain pula ceritanya. Ilmu adalah salah satu pertanyaan yang akan disoal selepas kita mati. Jika kita curi ilmu dan kemudian menipu, agak-agaknya apa akan jadi ye?

Berlaku jujur, bertanggungjawab, membina wawasan, disiplin diri dan hati, bekerjasama dengan semua, berlaku adil dan prihatin dengan sesiapa sahaja. Moga kita hidup bahagia dunia & akhirat. AMIN!

Wassalam

Ramadhan dan Aidil Fitri

Setiap kali Ramadhan hati saya akan sayu teringatkan pelbagai kejadian dalam hidup saya. Saya juga sayu dan gembira kerana Ramadhan muncul lagi dan ibadah harian akan berganda-ganda pahalanya. Macam dapat bonus. Dah lah sembahyang jemaah dapat pahala berganda tambah pula dalam bulan yang mulia ini... berganda-gandalah.


Tapi ramai di antara kita tidak pandang Ramadhan sebagai bulan mulia tetapi bulan menyeksa sebab tak boleh makan di siang hari. Tapi ramai juga yang masih makan tapi kita manusia tak nampaklah tapi Allah nampak. Tak mengapalah itu kiraan perbuatan mereka, harap-harap sempatlah bertaubat. Tapi sebagai hamba Allah saya hanya mengingatkan, tapi kalo ada yang masih nak lupa-lupa saya tak boleh nak buat apa. :-)


Puasa adalah sebuah benteng diri daripada melakukan perkara maksiat atau dosa. Puasa bukan setakat menahan lapar dan dahaga tetapi juga puasa mata, mulut, tangan, kaki dan juga hati. Puasa juga bukan hanya di bulan Ramadhan tetapi juga di bulan-bulan yang lain supaya kita dipelihara dari maksiat dan dosa. Manifestasi puasa adalah benteng dan kawalan diri terhadap


Kemudian muncul pula Hari Raya atai Aidil Fitri, hari kemenangan untuk mereka yang berpuasa sebulan dan lengkap beribadah kepada Allah SWT di bulan Ramadhan. Tetapi ramai yang pentingkan bulan Syawal daripada bulan Ramadhan. Puasa tak cukup sifatnya tetapi Raya nak cukup pula. Hehe. Ntah-ntah bulan Ramadhan tahun hadapan kita dah tak ada lagi. Fikirkanlah ye!

Jujurlah, bertanggungjawab, bina wawasan, disiplin diri dan hati, bekerjasama dengan semua, adil kepada semua dan prihatin dengan sesiapa sahaja. Moga kita hidup bahagia dunia & akhirat. AMIN!

Wassalam

Apa yang salah, apa yang betul?

Tahun ini sudah 11 tahun Majalah PC diterbitkan oleh Karangkraf. Dan selama itulah pelbagai corak dan bentuk persembahan MPC dipaparkan untuk para pembaca. Pelbagai cara kami persembahkan dengan usaha dan cara yang kami mampu. Kerana sering ada kekangan yang berlaku setiap kali kami mahu lakukan sesuatu kebaikan.

Namun kami di MPC tidak berputus asa kerana ada lebih daripada 100,000 pembaca MPC di luar sana yang mahukan MPC setiap bulan. Malah kami berbangga kerana sudah ramai yang mahir dengan komputer dan faham dengan komputer kerana MPC yang dibaca setiap bulan.

Malah ada pembaca MPC yang telah pandai komputer dengan membaca MPC tidak lagi membaca kerana mereka sudah pandai. Kami tidak kisah jika mereka tidak membeli lagi MPC tetapi jangan pula mengata MPC di alam siber. Kerana tindakan itu bagaikan seekor anjing yang mengigit orang yang melepaskannya. Maaf jika perkataan anjing tidak anda sukai, itu hanya perumpamaan.

Satu lagi kami di MPC tidak mahu mempromosikan penggunaan perisian cetak rompak secara langsung. Kami faham kenapa para pembaca menggunakan perisian cetak rompak. Kami juga tidak setuju dengan harga perisian yang tinggi. Walaupun ada perisian alternatif tetapi tidak semua yang mahir dan mahu menggunakan perisian-perisian itu. Kami minta maaf jika kami tidak menjawab pertanyaan anda mengenai cara dan di mana mendapatkan perisian cetak rompak kerana kami mahu mempromosikan tindakan itu.

Kadang-kadang tindakan yang betul menjadi salah kepada orang lain, dan kadang-kadang tindakan yang salah menjadi betul kepada orang lain.

Jujurlah, bertanggungjawab, bina wawasan, disiplin diri dan hati, bekerjasama dengan semua, adil kepada semua dan prihatin dengan sesiapa sahaja. Agar kita hidup bahagia dunia & akhirat. AMIN!

Wassalam